"Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur. Suatu      ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang      bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya      mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi      itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau      dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau      dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,      kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau      putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."
   
    Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan      kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.      Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku  diperintahkan memakan      perkara pertama yang aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil      yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit      itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba      bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar sebuku roti. Maka Nabi      itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh      manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
   
    Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah      mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas      Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu,      kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi      itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka      berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun      meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu      terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
   
    Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang      sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu      berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu,      hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke      dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang      menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan      aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan      harapanku dari rezekiku."
   
    Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak      boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara      itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong      sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat      daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam      bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya.
   
    Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya,      maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang      menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka      kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya      dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana      yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya      ini."
   
    Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahwa, "Yang pertama      engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi      pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah      itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
     Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap      akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka      janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka      usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.      Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka      larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
   
    Kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima      perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara      yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang      menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita      ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita,      sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah      akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia      bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak      pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah      pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita      sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi      kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu,      hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar." 
Tuesday, October 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 

No comments:
Post a Comment